Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Hari Bersama Media sempena pelaksanaan Mahkamah Rendah Syariah (bahagian Nafkah) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,449 syarikat atau  57 peratus  yang memiliki sijil halal adalah dalam kalangan pengusaha bukan Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, jumlah itu direkodkan daripada 9,520 syarikat yang mendaftar sebagai pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sehingga 10 November lalu.

“Berdasarkan rekod terkini sehingga 10 November 2024, jumlah pemegang SPHM ialah 9,520 syarikat.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 5,449 syarikat adalah pemegang SPHM dalam kalangan bukan Bumiputera dengan nisbah 57 peratus.

“Jumlah pemegang SPHM Bumiputera membabitkan 3,803 syarikat iaitu 40 peratus dan baki tiga peratus (268 syarikat) dari kalangan pemegang SPHM milikan asing,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen di sini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai perancangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menarik lebih ramai pengusaha Bumiputera dalam memiliki sijil halal.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, JAKIM dan majlis agama Islam negeri (MAIN) atau jabatan agama Islam negeri (JAIN) sentiasa mencari pendekatan terbaik bagi mencapai matlamat itu.

“Dalam usaha menarik lebih ramai pengusaha Bumiputera memiliki sijil halal, kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan seperti MARA, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan agensi pembimbing dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Ia dilaksanakan dalam bentuk sesi libat urus, penganjuran program bimbingan dan kesedaran serta lain-lain.

“Antara perancangan khusus yang disusun bersama GiatMARA pada masa ini ialah mensasarkan 12 lagi pusat GiatMARA untuk mendapatkan pensijilan halal bagi skim premis makanan menjelang 2025.

“JAKIM juga merancang untuk meneruskan pelaksanaan program HoT di beberapa lokasi dikenal pasti bersama pihak MAIN dan JAIN pada 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast