KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat melarang semua Ahli Parlimen menggunakan perkataan ‘kurang ajar’ sepanjang sesi perbahasan bermula hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengeluarkan arahan itu menjelaskan perkataan tersebut tidak berparlimen dan mempunyai maksud yang tidak sopan.
Beliau turut meminta ahli Parlimen mengambil hal itu secara serius.
“Berhubung perkataan kurang ajar, selepas meneliti semua perkara yang terjadi di Dewan ini dan setelah merujuk kepada Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keluaran 2007 edisi empat muka surat 854.
“Kurang ajar bermaksud tidak sopan atau buruk, atau kasar budi pekertinya. Oleh yang demikian, mulai hari ini saya tidak membenarkan mana-mana ahli Yang Berhormat menggunakan perkataan kurang ajar, saya takrifkan perkataan ini sebagai ‘unparliamentary’.
“Saya harap Yang Berhormat mengambil perkara ini secara serius. Selain daripada itu, ia bukan takrifan saya. Kurang ajar tidak dibenarkan digunakan di Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Selepas membuat ketetapan itu, Datuk Ahmad bin Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) bangkit meminta penjelasan Dewan Rakyat terhadap penggunaan perkataan ‘jangan kurang ajar’.
Johari meminta ahli Parlimen memilih perkataan lain kerana penggunaan ayat itu boleh menimbulkan masalah. – MalaysiaGazette