Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri bercakap pada media ketika Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim sempena Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai di Restoran Gastrohub, Nilai. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

DI tingkat tinggi Menara Ilham, bilik mesyuarat yang dihiasi dengan perabot elegan dan dinding kaca yang memaparkan pemandangan bandar Kuala Lumpur terhampar.

Di dalamnya, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, duduk di hadapan barisan tokoh ternama dalam Council of Elders iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Tan Sri Robert Kuok, Professor Jomo Kwame Sundaram termasuk Tun Daim Zainuddin, yang kelihatan tenang tetapi penuh perhatian.

Di lobi Menara Ilham, para wartawan sudah berkumpul, menanti dengan kamera dan mikrofon, bersedia untuk merakam setiap perincian pertemuan ini. Namun, suasana di dalam bilik mesyuarat kekal sunyi dan penuh tumpuan.

Dr. Zulkifli memulakan pembentangannya dengan penuh hormat.

“Saya mengucapkan terima kasih atas peluang ini,” katanya dengan yakin.

“Perancangan saya untuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melibatkan usaha untuk memperkukuh pengurusan dan pentadbiran melalui pendekatan baharu.

“Jawatan Mufti Wilayah Persekutuan perlu dimartabatkan sesuai dengan peranannya sebagai pihak berkuasa utama selepas YDPA dalam soal Hukum Syarak.”

Tun Daim memandangnya dengan penuh tumpuan, matanya yang tajam melirik dokumen yang diserahkan oleh Dr. Zulkifli kepadanya.

“Salah satu idea utamanya adalah untuk mewujudkan akta tersendiri bagi Mufti Wilayah Persekutuan, agar tidak lagi bergantung kepada Akta 505 seperti sekarang.”

Tun Daim yang duduk tenang dengan wajah yang sukar dibaca mengangguk sedikit. Dengan nada suara yang dalam dan tegas, beliau bertanya, “Akta tersendiri? Adakah Dato’ Seri yakin bahawa autonomi itu benar-benar diperlukan untuk mencapai visi kerajaan baharu ini?”

“Ya, Tun Daim,” jawab Dr. Zulkifli dengan yakin. “Dengan akta yang khusus, Pejabat Mufti akan mempunyai lebih kebebasan dalam melaksanakan tugas-tugas kami.

Kami dapat memperkukuh pentadbiran, mengurus sumber dengan lebih efektif, dan mengembangkan peranannya yang lebih holistik untuk masyarakat Wilayah Persekutuan dan seterusnya di peringkat antarabangsa. Mufti Wilayah adalah suara Kerajaan Persekutuan dalam hal agama.

Kereta jenazah yang membawa bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dari Hospital Assunta Petaling Jaya ke kediaman allahyarham di Bukit Tunku

Alhamdulillah, YAB Tun Mahathir telah melantik saya secara rasmi sebagai jurucakap Kerajaan kepada dunia luar untuk isu-isu agama.”

Tun Daim mendiamkan diri seketika, matanya tidak beralih dari Dr. Zulkifli. Kemudian, dengan nada lembut yang penuh ketegasan, dia berkata, “Cadangan yang sangat berani, Dato’ Seri. Namun, ia juga memerlukan komitmen yang tidak sedikit.”

“Saya faham, Tun. Dan saya bersedia memikul tanggungjawab ini, demi memastikan institusi fatwa di Wilayah Persekutuan berfungsi dengan lebih efisien dan dapat memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan negara.”

Tun Daim tersenyum tipis. “Bagus. Saya menghargai kejujuran dan ketegasan Dato’ Seri dalam perkara ini. Terima kasih atas komitmen yang di tunjukkan.”

Selesai pertemuan, Dr. Zulkifli bersalam dengan setiap anggota majlis. Ketika beliau melangkah keluar menuju ke lobi, bunyi suara dan klik kamera wartawan yang menunggu dengan penuh harapan menyambutnya.

Dengan tenang, Dr. Zulkifli memberikan senyuman dan bersedia menjawab soalan yang pastinya akan diajukan oleh para wartawan yang sudah lama menunggu di Menara Ilham hari itu.

“Dato’ Seri, betulkah JAKIM akan dibubarkan?”, celah seorang wartawan.

Dr. Zulkifli tersenyum simpul dengan soalan “panas” itu.

“Tak. Kami tak bincang itu. Bahkan, saya pegang apa yang Tun nyatakan semalam bahawa isunya bukan membubarkan, ia melihat peranan dan juga bagaimana mengemaskini atau memperkasakannya.”, jawabnya ringkas.

**********

اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهُ ، وَارْحَمْـهُ ، وَعَافِهِ ، وَاعْفُ عَنْـهُ

Takziah saya ucapkan kepada keluarga almarhum Tun Daim Zainuddin. Seorang tokoh ternama yang tiada galang gantinya.

Apakah kandungan penuh “akta baharu” yang telah dibentangkan itu? Nantikan Memoir Anok Tranung: Autobiografi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast