KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.
Diwakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau turut menyifatkan Daim sebagai arkitek ekonomi negara sehingga membawa nama Malaysia terkenal sebagai Harimau Asia satu ketika dulu.
“Tuan Yang Di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan di sini kerana kita dimaklumkan bahawa pagi tadi permergian seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
“Maka saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham.
“Menggunung jasanya kepada agama, bangsa dan negara terutama ketika negara berdepan krisis kewangan 1998 sehingga akhirnya membolehkan Malaysia keluar daripada krisis berkenaan.
“Beliau merupakan pejuang tulen bahkan tetap berjuang demi masa depan negara yang adil dan saksama. Saya ingin merakam takziah ini dan memohon semua yang beragama Islam untuk membaca dan sedekah Al-fatihah,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, Daim meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pagi tadi sejak dua minggu lalu.
Solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan dikebumikan di Bukit Tunku di sini.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – MalaysiaGazette