Mohammad Akiff Sulainam (kiri) dan Muhammad Haim Mazlan menunjukkan sijil penghargaan yang diterima daripada Ketua Polis Daerah Temerloh atas keberanian menyelamatkan mangsa lemas di Sungai Pahang

TEMERLOH – Dua sahabat nekad menyelamatkan seorang mangsa yang lemas di Kampung Sungai Tekal, di sini pada Mei lalu walaupun sedar berdepan risiko tinggi  arus deras Sungai Pahang.

Mohammad Akiff Sulainam, 32, mengimbau kembali kejadian itu berkata, dia hampir kehabisan tenaga dan letih bergelut dengan mangsa lemas ketika dalam permukaan air kerana enggan diselamatkan.

Pengusaha sangkar patin itu menambah, kejadian lemas itu berlaku pada jam 4 petang itu turut disaksikan sahabatnya, Muhammad Hakim Mazlan,36, yang sedang memancing di atas bot ketika itu.

Dengan langkah pantas sahabatnya terus menuju ke arah mangsa lemas menggunakan bot dan menyambar mangsa yang dilihat sudah tenggelam timbul.

“Mangsa lemas macam nak bunuh diri. Hakim tengah memancing. Saya pula dekat atas tebing dekat dengan sangkar saya.

“Lelaki itu terjatuh di tengah sungai, masa jatuh tu dia masih boleh berenang tapi sampai dekat arus laju tenggelam timbul. Masa tu kawan saya nampak, dia pergi ke arah mangsa dengan bot.

“Selepas itu saya menghampiri mangsa dari tebing dan selamatkan dia. Semasa itu tak fikir apa bila main dengan nyawa kita kenalah tolong sesama kita,” katanya.

Mengulas lanjut, usaha menyelamat itu memakan masa sejam lebih kerana mangsa enggan diselematkan dan ingin terjun semula.

“Saya suruh mangsa pegang bot, kami bergelut dengan dia sebab hilang kawalan. Ketika itu tiada cara lain. Kami ikat mangsa sebab dia nak terjun balik dalam sungai. Kita cuba sedaya upaya selamatkan mangsa yang berbadan besar.

“Memang merisiko nyawa sebab mangsa seperti ini tidak mahu diselamatkan. Namun bila dah sampai atas darat tebih rasa lega dan selamat,” tambahnya.

Sahabatnya Hakim turut berkongsi saat kejadian itu berkata, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan mangsa lemas tanpa menghiraukan apa sahaja kebarangkalian yang mungkin berlaku.

“Kali pertama tengok insiden sebegitu dan air besar, memang terkejut tapi apa lebih penting nyawa mangsa dalam air sedang terancam.

“Bila kita ikat dia, mangsa melawan jadi ada luka sedikit. Orang ramai pun membantu dan menghubungi pihak polis untuk membawa mangsa dapatkan rawatan,” katanya.

Kedua-dua sahabat itu ditemui ketika menerima anugerah penghargaan oleh Ketua Polis Temerloh Asisten Komisioner Maslan Hassan pada majlis perhimpuan bulanan November kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada semalam.

Sementara itu Mazlan ketika ditemui menyifatkan pengorbanan dan keberanian dua sahabat itu luar biasa dalam membantu polis melakukan kerja-kerja menyelamat masyarakat.

Mazlan menghargai usaha yang dilakukan oleh masyarakat terutamanya komuniti nelayan sungai yang sentiasa melibatkan diri dalam operasi pencarian mangsa lemas bersama pasukan penyelamat.

“Saya berterima kasih kepada masyarakat terutamanya nelayan sungai di Temerloh ini aktif bekerjasama dan menwar-warkan kepada yang lain, inilah masyarakat dan polis berpisah tiada.

“Apabila berlaku kes lemas, misi pencarian terutamanya melibatkan sungai kita akan berhubung persatuan nelayan sungai untuk mengesan sama sebab mereka berada di sungai dapat membantu lebih pantas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast