Polis mengeluarkan mayat 4 suspek penjenayah berbahaya warga Vietnam yang berjaya ditembak mati dalam serbuan di ibu negara tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR- Empat penjenayah warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes tebuk peti besi di sekitar Lembah Klang, sejak 2018 telah berjaya ditembak mati oleh polis.

Keempat-empat suspek ditembak semasa serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur di unit kediaman di tingkat 17, sebuah residensi di Jalan Imbi, di sini sekitar jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia 40-an itu cuba melepaskan tembakan ke arah pihak polis dalam Operasi Tebuk (Op Tebuk) tersebut.

“Semasa proses tangkapan cuba dibuat polis, suspek dikesan melepaskan tembakan secara tiba-tiba sehingga berlaku situasi berbalas tembakan di lokasi sebelum polis menembak mati kesemua penjenayah sebagai usaha mempertahankan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang polis semasa serbuan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tersebut.

Mayat kesemua suspek berkenaan sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses dibedah siasat.

Tambah Rusdi, hasil siasatan lanjut polis juga mendapati kesemua suspek penjenayah itu dipercayai sering keluar masuk ke negara ini dan sudah mengaut keuntungan RM4.3 juta hasil daripada jenayah pecah rumah, pecah pejabat sebelum menebuk peti besi dari premis yang menjadi sasaran mereka.

Menurut beliau, kesemua penjenayah berkenaan kebiasaannya suspek mensasarkan pejabat dan kediaman yang tidak berpenghuni selepas melakukan pemerhatian sebelum melakukan jenayah tersebut.

“Kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah yang terbaru adalah dua hari lalu di Sri Hartamas, di sini sebelum kembali menyembunyikan diri di lokasi yang diserbu polis malam ini.

“Malah, polis juga percaya bahawa penjenayah ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat membuat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

“Daripada siasatan dan semakan lanjut, kita juga mendapati kesemua suspek yang mempunyai pasport ini sangat berbahaya dan sangat susah untuk ditahan kerana kelicikan mereka mudah meloloskan diri.

“Modus operandi penjenayah ini adalah mereka ini bergerak melakukan jenayah pada waktu malam dan tidak meninggalkan sebarang kesan manakala apabila wajah mereka terakam pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ianya agak sukar untuk dikenalpasti disebabkan mereka adalah warga asing ,” ujar Rusdi lagi.

Tegasnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut baki mengesan dan menangkap saki-baki suspek penjenayah kumpulan ini yang disyaki masih bebas di luar dan juga dalam proses melengkapkan siasatan mengenai kegiatan jenayah yang dilakukan oleh mereka.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here