KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberikan penghormatan terakhir kepada keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Fadillah menzahirkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Toh Puan Naimah Khalid serta keluarga atas peristiwa duka cita yang dialami mereka.
Beliau turut mengakui sumbangan besar bekas Menteri Kewangan itu walaupun tidak pernah berkhidmat bersama allahyarham dalam kerajaan.
“Walaupun saya tidak pernah berkhidmat dalam kerajaan bersama beliau, saya mengikuti perjalanan beliau.
“Kami berdoa yang terbaik untuk Tun dan seluruh keluarga beliau, semoga mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi masa yang sukar ini,” katanya kepada pemberita di luar kediaman Allahyarham di Bukit Tunku di sini, hari ini.
Usahawan yang beralih menjadi ahli politik itu pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 dan sekali lagi dari 1998 hingga 2001.
Daim, 86, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, turut berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara tahun 1982 hingga 2004.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik beliau sebagai Menteri Kewangan dua tahun selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Pada 2018, Daim bersama veteran parti lain yang menyokong Dr Mahathir menentang Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, hingga dipecat dari UMNO.
Selepas perubahan kerajaan, Daim mengetuai Majlis Orang-orang Berwibawa yang ditugaskan untuk memberi nasihat kepada kerajaan baharu bagi 100 hari pertama pentadbirannya. – MalaysiaGazette