Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin

MELAKA – Pelajar lepasan universiti dan kolej di negara ini diingatkan tidak terpedaya dengan tawaran jawatan biasa bergaji lumayan yang berisiko didalangi sindiket penipuan atau scammer antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, tawaran gaji sehingga RM5,000 untuk graduan baru itu perlulah disemak sebelum menerimanya.

Menurutnya, jawatan yang diiklankan itu seolah-olah ia adalah pekerjaan sah dalam bidang khidmat pelanggan, perhubungan awam dan sokongan teknikal sedangkan sebenarnya berselindung di sebalik jenayah scammer dan judi dalam talian.

“Nasihat saya kepada graduan baru lepasan universiti dan kolej ini, semaklah betul-betul bagi iklan jawatan biasa tapi menawarkan gaji yang tinggi ini.

“Kita tahu pasaran kerja kita di Malaysia ini gaji permulaan jawatan (terbabit) pun adalah sekitar RM1,500 hingga RM2,200 tapi mereka (sindiket scammer) boleh menawarkan sampai RM4,000 hingga RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Penguatkuasaan Atipsom 2024 Awareness to Action : Mobilising Against Human Trafficking and People Smuggling di Hatten Hotel, Banda Hilir di sini hari ini.

Mohd Shuhaily (kanan) menyampaikan plak penghargaan selepas merasmikan penutup Seminar Penguatkuasaan Atipsom 2024 Awareness to Action : Mobilising Against Human Trafficking and People Smuggling di Hatten Hotel, Banda Hilir, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, antara negara-negara terlibat dalam penipuan ini adalah yang berada dalam senarai amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar.

“Tempat-tempat itu sendiri sudah menunjukkan sesuatu yang orang panggil ‘red alarm’ jadi harus disemak betul-betul terutamanya graduan lepasan bidang teknologi.

“Sebabnya dunia scammer ini bukanlah memerlukan kepakaran yang tinggi sangat pun tetapi dia mesti fasih dalam sistem telekomunikasi dan asas teknikal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast