KUALA LUMPUR – Malaysia kehilangan seorang tokoh besar yang banyak menyumbang kepada kemajuan Malaysia dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi dan pentabiran.
Allahyarham Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pagi ini di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada usia 86 tahun.
Perkara berkenaan disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dalam kes mahkamah.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Mohd Fadhli Shaari turut merakamkan takziah dan menyifatkan Allahyarham seorang yang begitu komitmed dan bijaksana dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan Malaysia suatu ketika dahulu.
“Sumbangan beliau telah meninggalkan impak yang mendalam dalam membangunkan ekonomi negara dan mengukuhkan kestabilan kewangan Malaysia.
“Diharapkan keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi saat kehilangan ini. Semoga roh Allahyarham Tun Daim Zainuddin dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Allahyarham dikatakan mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU).
Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan lima anak sebelum ini pernah dilantik menjadi menteri kewangan pada 1984 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkhidmat sehingga 1991.
Pada 1999, Allahyarham telah dilantik sekali lagi juga oleh Dr Mahathir dan melepaskan jawatan pada 2001.
Untuk rekod, Allahyarham dan isterinya sedang menghadapi kes rasuah dan pengubahan wang haram selain didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan. -MalaysiaGazette