Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pemegang tauliah mengajar di negeri ini agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.

Tegas baginda, masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam dan bukannya ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah.

“Kita semua bertanggungjawab memastikan masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua, tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

“Jangan sama sesekali menjadikan agama sebagai alat tunggangan dalam menghalalkan niat dan matlamat,” titah baginda.

Dalam hal ini titahnya alim ulama, asatizah dan penceramah harus menjadi contoh yang baik, menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

Al-Aultan Abdullah mengingatkan semua pihak yang telah diberikan tauliah agar menggunakan peluang ini untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat dengan penuh kejujuran dan amanah.

Jelas baginda penyalahgunaan tauliah akan membawa kesan serius bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya.

Sultan Pahang bertitah tauliah juga boleh ditarik sekiranya disalahgunakan, bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan berkenaan.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli merasmikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Ke-193 di sini, semalam.

Turut berangkat mengiringi baginda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast