KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarham Tun Daim Zainuddin dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan sebentar tadi untuk disembahyangkan.
Kenderaan yang membawa jenazah bergerak dari kediaman Allahyarham pukul 3.36 petang dengan diiringi ahli keluarga serta orang ramai yang datang memberikan penghormatan terakhir.
Solat jenazah dijangka dilakukan selepas solat Asar, seterusnya dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1 untuk dikebumikan.
Antara yang hadir menziarahi Allahyarham dikediamannya iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Rais Yatim; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ramai lagi.
Daim, 86, menghembuskan nafas terkahir di Hospital Assunta pukul 8.36 pagi tadi.
Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital tersebut sejak dua minggu lalu.
Daim pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali memegang jawatan itu dari tahun 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia 1998.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – MalaysiaGazette