Datuk Seri Johari Baharom

KUALA LUMPUR – Pesanan Allahyarham Tun Daim Zainuddin agar orang Melayu bersatu serta memperkukuhkan ekonomi merupakan satu ungkapan yang masih terngiang-ngiang di telinga Datuk Seri Johari Baharom.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, Allahyarham mempunyai jasa yang terlalu banyak kepada negara dan boleh dianggap sebagai seorang negarawan.

Menurut beliau, sumbangan dan bakti Allahyarham bukan sahaja ketika menceburi politik, sebaliknya, ia telah bermula ketika beliau masih lagi berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“…Apabila dalam kerajaan pun beliau telah memberi banyak sumbangan menerusi idea kepada negara yang mana kita tahu beliau membantu Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu membangunkan negara…

“Jadi, kehilangannya ini adalah satu kehilangan besar kepada negara,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Bukit Tunku, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau mengenali lebih dekat mengenai diri Allahyarham adalah ketika allahyarham memegang jawatan sebagai Bendahari UMNO.

Katanya, ketika itu beliau telah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu.

Jelasnya, allahyarham telah memberikan pandangan yang sangat signifikan berhubung kait dengan perihal orang Melayu dan kedudukan bangsa itu agar lebih baik pada masa mendatang.

“Jadi, apa yang dia cakapkan sekarang ini ternyatalah…maknanya tekanan, kalau kita tak betul tak kukuhkan orang Melayu hari ini, kita akan ketinggalan di bumi sendiri dan masa tu kita tak boleh salahkan sesiapa lagi.

“Jadi, saya nampak banyak jasanya yang telah diberikan kepada negara ini dan juga telah termasuk memberi nasihat kepada kami sebagai orang muda pada ketika itu terutama dalam Badan Perhubungan UMNO (Kubang Pasu) pada ketika itu,” ujar beliau yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu.

Daim, 86, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pagi tadi selepas dua minggu mendapat rawatan di situ.

Jenazah dijangka disembahyangkan di Masjid Wilayah selepas solat Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast