Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Pengasuh merekodkan jumlah tertinggi pelaku jenayah kes penderaan kanak-kanak di Selangor bagi tempoh antara Januari sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh itu pihaknya menerima 387 laporan kes penderaan kanak-kanak.

“Sebanyak 89 kes dera dilakukan pengasuh diikuti ibu bapa kandung (78 kes) dan guru (78 kes) serta ibu bapa tiri (69 kes).

“Statistik turut sama merekodkan pelaku kes penderaan ini turut melibatkan murid iaitu sebanyak 56 kes serta jiran iaitu sebanyak 17 kes,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Child Interview Centre (CIC) D11 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Balai Polis Seksyen 11 hari ini.

Menurut Hussien, sebanyak 139 daripada 387 kes penderaan kanak-kanak melibatkan bayi berusia 0 hingga satu tahun, dua hingga lima tahun (96 kes) dan bakinya kanak-kanak berusia enam sehingga 18 tahun.

Sementara itu katanya, September mencatatkan rekod tertinggi penderaan mangsa di bawah umur 16 tahun dengan 56 kes diikuti Ogos (43 kes), Julai (42), Februari (40), Januari (37), Mei (35), Jun (33) dan April (22).

Jelas beliau, siasatan mendapati kebanyakan punca penderaan terhadap kanak-kanak akibat kecuaian selain kurangnya kesedaran terhadap penjagaan kanak-kanak.

“Selain itu faktor sikap melibatkan golongan pengasuh, penjaga serta ibu bapa itu sendiri yang cuai dan leka misalnya meninggalkan bayi atau kanak-kanak bersendirian sehingga memberikan risiko kepada mangsa,” tambahnya.

Menurut beliau, trend kes penderaan kanak-kanak menunjukkan sedikit peningkatan namun ia tidak ketara.

“Peningkatan kes berlaku susulan pertambahan jumlah penduduk di negeri ini selain Selangor sendiri mempunyai jumlah penduduk yang ramai berbanding negeri lain,” tambah beliau.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai perasmian Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) kedua yang beroperasi sejak Mac lalu, Hussien berkata, ia mempunyai persekitaran yang kondisif untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

“Penubuhan CIC ini mengambil kira peningkatan jumlah kes melibatkan seramai 875 kanak-kanak yang sudah ditemuga tahun ini melibatkan pelbagai kes antaranya penderaan, pengabaian dan seksual,” katanya lagi.

Lokasi CIC pertama di Selangor adalah di Seksyen 7. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast