Suasana sekitar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ketika tinjauan di Kuala Lumpur hari ini. Foto AIZAT ZAINAL, 1 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis selesai merakam keterangan 13 individu berkaitan kes seorang kadet Akademi Latihan Ketenteraan tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengalami keretakan tulang rusuk akibat dipijak penuntut senior.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan itu diambil bagi pihaknya melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Setakat ini, kita telah merakam keterangan 13 individu termasuk mangsa bagi membantu siasatan lanjut.

“Pada masa sama, kita juga masih menunggu laporan perubatan mangsa lelaki berusia 19 tahun,” katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga di universiti tersebut.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 10.45 malam pada 21 Oktober ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai dipanggil nama.

Berikutan itu, Rusdi melaporkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast