Hutan Sungai Lembing yang didakwa semakin botak. foto Facebook Ayub Ashri.

KUANTAN – Pembangkang Pahang akan membawa isu dakwaan Hutan Sungai Lembing semakin botak ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)  yang dijadualkan berlangsung  pada penghujung bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, tindakan diambil susulan pihaknya tidak menerima sebarang penjelasan oleh kerajaan negeri meskipun sudah sebulan isu berkenaan dipersoalkan.

“Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri masih lagi berdiam seribu bahasa, sedangkan pembersihan kawasan berlaku dan mungkin melebihi 100 hektar.

“Sudah lebih 30 hari sejak saya mula menyuarakan kebimbangan berkenaan kawasan hutan dalam Sungai Lembing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohamad Ayub,  sepatutnya sebelum melaksanakan sebarang aktiviti yang berkaitan, pihak yang berkenaan perlu mendapatkan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Ia kerana,  pembukaan hutan yang membawa  kepada pengeluaran pertanian melebihi 20 hektar atau pembangunan mahupun pembersihan kawasan bercerun melebihi 25  peratus perlu mematuhi Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kita harap kerajaan negeri tidak berterusan mengambil sikap sambil lewa  dan segera menjawab segala persoalan yang timbul ini,” katanya yang menyatakan kawasan hutan itu semakin terang-benderang.

Artikel berkaitan: Sungai Lembing botak, Pemuda Pas Pahang tuntut penjelasan MB

Kawasan Hutan Sungai Lembing semakin botak?

Sementara itu,  sebuah portal memetik kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang menjelaskan terdapat kerja pembangunan tanah bagi tujuan penanaman kelapa di atas tanah kerajaan.

Kenyataan itu bagi menafikan tiada aktiviti penghapusan, penyahwartaan kawasan hutan simpanan kekal (HSK) berlaku di Sungai Lembing dan kerja pembangunan tanah di situ dikawal selia di bawah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan.

Selain itu, katanya, tiada sebarang permohonan dan kelulusan membalak bagi tujuan mengambil hasil hutan dan tiada sebarang kerja-kerja berkaitan pengumpulan kayu dan cubaan mengeluarkan kayu dilakukan pemaju.

Terdahulu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan perkara isu berkenaan akan disiasat serta tindakan pihak berkenaan. – MalaysiaGazette 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here