KUALA LUMPUR- Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar akan menyemak pertuduhan di mahkamah yang melibatkan allahyarham Tun Daim Zainuddin susulan kematian mengejut bekas Menteri Kewangan itu, pagi tadi.
“Saya akan semak dahulu (kes yang masih berjalan di mahkamah). Kebiasaannya, kami akan menunggu sehingga sijil kematian dikeluarkan,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita The Edge, hari ini.
Daim berdepan pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Manakala isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid, 67, pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN