Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

BARU-baru ini , sewaktu Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan (MoF), beliau dicelah oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) yang meminta beliau menjelaskan mengapa MoF mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memberikan tender projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1B yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dari Telupid ke Kampung Lumou Baru (WP32) kepada syarikat yang tidak diluluskan oleh penilaian tender.

Mengikut Takiyuddin, persoalan ini penting dijawab oleh Amir Hamzah kerana sewaktu Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (Kinabatangan) membangkitkannya kepada Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pada 7 November lalu, Alexander berkata pemberian tender ini adalah berada di bawah bidang kuasa dan perlu ditanyakan kepada MoF. Bung Moktar sebelum itu mendakwa JKR Sabah dipaksa oleh MoF untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat yang tidak layak, iaitu TCS Construction Sdn. Bhd., dan ini dikatakan merupakan satu pelanggaran tata kelola yang besar dan memalukan

Amir Hamzah bagaimanapun menyatakan beliau “mungkin tidak ada data yang detail  bab tender yang tersebut”. Jawapan ini mendorong Bung Moktar sekali lagi memberikan perincian pemberian tender tersebut dengan sekali lagi mendakwa TCS Construction Sdn. Bhd. ini tidak pernah dinilai, Dia terkeluar daripada jalur harga 17.65% yang bermakna apabila ia diberi kontrak ini ia pasti tidak akan dapat menyelesaikan kerja-kerja itu dan menyebabkan kerja-kerja ini tergendala sekali gus beliau meminta “MoF benar-benar telus dalam tata kelola ini”, “pilihlah syarikat yang disyorkan oleh KKR Malaysia, dan jangan bagi kepada syarikat yang tidak layak langsung”.

MoF bagi kepada TCS yang syarikat tidak pernah dinilai, jadi mana tata kelolanya, kita bicara soal tata kelola. Dia terkeluar daripada jalur harga 17.65%, ini bermakna apabila dia dibagi dia pasti tidak akan dapat menyelesaikan kerja-kerja itu dan menyebabkan kerja-kerja Pan Borneo ini tergendala. Saya minta MoF benar-benar telus dalam tata kelola ini. Pilihlah di antara 8 syarikat itu yang qualified yang telah dinilai yang disyorkan oleh KKR Malaysia. Jangan bagi kepada syarikat yang tidak layak langsung. Terima kasih.

Amir Hamzah seterusnya berjanji, “Kita akan lihat, kerana saya tak ada butiran detail saya lebih cenderung untuk melihat ia dengan detail lagi sebelum saya bagi, saya tak nak bagi information yang salah kepada Dewan”. Marilah kita tunggu Amir Hamzah mengotakan janjinya dalam sehari dua ini.

Hal ini penting kerana pelanggaran tatakelola kewangan, di mana syarikat ini dikatakan tidak memenuhi beberapa kriteria penting seperti ketepatan harga yang melampaui had yang ditetapkan dan kekurangan dalam aspek-aspek dokumentasi asas, jika benar, bercanggah dengan prinsip Malaysia Madani.

Tindakan memberi kontrak kepada syarikat yang gagal dalam penilaian tender bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti Kementerian Kewangan, tetapi juga mencemarkan reputasi pentadbiran yang berteraskan kepada prinsip-prinsip Malaysia Madani.

Jika pelanggaran tata kelola dalam pemilihan kontraktor tidak dibendung, negara akan menghadapi pelbagai impak negatif yang boleh menjejaskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Pertama, ia meningkatkan risiko penyelewengan dana awam yang disalurkan kepada syarikat-syarikat yang tidak layak. Dana yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan berisiko terbuang kerana projek mungkin tidak dilaksanakan dengan baik akibat kekurangan pengalaman dan kecekapan kontraktor yang dilantik.

Kedua, ia menjejaskan kepercayaan pelabur terhadap ketelusan sistem tender kerajaan. Pelabur luar mungkin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang kurang integriti dalam amalan pentadbiran, sekaligus merendahkan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing. Dalam jangka masa panjang, ini akan menjejaskan pembangunan ekonomi Malaysia.

Ketiga, pelanggaran tata kelola seperti ini menyukarkan masyarakat untuk mempercayai komitmen kerajaan terhadap dasar dan prinsip yang mereka sendiri perkenalkan. Apabila rakyat melihat kerajaan sendiri melanggar prinsip integriti, maka segala usaha untuk memupuk budaya ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam menjadi sia-sia.

Langkah pembetulan perlu dilakukan

Untuk membendung dan memperbetulkan situasi ini, beberapa langkah perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan pematuhan terhadap tatakelola yang ketat dalam pemilihan kontraktor.

Langkah pertama pastilah untuk tidak mengeluarkan SST kepada syarikat yang tidak layak ini atau, jika SST kepada syarikat yang tidak layak ini sudah dikeluarkan, SST ini perlulah segera ditarik balik dan diberikan kepada syarikat yang layak.

Untuk masa hadapan pula, kerajaan perlu mengukuhkan prosedur sedia ada dengan menetapkan pemantauan ketat dan audit dalam proses pemilihan kontraktor untuk mengelakkan pelanggaran seperti ini berulang. Pemantauan yang telus perlu dijalankan oleh pihak bebas bagi memastikan setiap proses penilaian dipatuhi dengan adil.

Badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilibatkan dalam pemantauan dan pengesahan proses tender, khususnya bagi projek-projek besar yang melibatkan dana awam yang tinggi. Ini penting untuk memastikan tiada manipulasi atau penyalahgunaan kuasa dalam proses tender.

Polisi tata kelola juga perlu dikaji semula dan diperkukuh, khususnya dalam melibatkan kontraktor yang mempunyai prestasi yang tidak memuaskan. Setiap kontraktor yang dipilih harus lulus semua kriteria yang ditetapkan tanpa pengecualian agar kepercayaan terhadap proses tersebut dapat dipulihkan.

Seterusnya, semua laporan tender dan pemilihan kontraktor perlu didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan. Ini membolehkan rakyat dan pihak berkepentingan menilai sendiri proses tersebut dan memberikan maklum balas yang konstruktif.

 

Hanisah A Rahman
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Yayasan Strategik Lestari (YSL)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast