SUBANG JAYA – Setakat 7 November lalu, purata 10,000 pengguna sahaja yang aktif melayari aplikasi PriceCatcher setiap minggu untuk menyemak harga dan produk

Jumlah itu dianggap Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali sebagai rendah jika dibandingkan dengan 459,998 pengguna yang telah memuat turun aplikasi tersebut.

Jelas beliau, ia berkemungkinan disebabkan oleh faktor jumlah maklumat harga dan produk di dalam aplikasi itu yang masih tidak meluas.

“Kita melihat jumlah maklumat harga dan produk yang ditawarkan masih belum meliputi banyak tempat di sesebuah daerah.

“Jadi kita mahu banyakkan lagi maklumat yang terkandung di dalam aplikasi itu tanpa menambah jumlah pemantau harga kita. Dengan pendekatan ‘self reporting’ perkongsian data oleh pemain industri runcit,” katanya.

Justeru itu katanya hari ini KPDN bersama dua industri peruncitan dalam negara iaitu pasaraya Mydin dan Redtick memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan perkongsian data harga barangan dan produk di aplikasi itu.

Menurut Armizan, melalui kerjasama strategik rintis itu, Mydin dan Redtick selepas ini akan membuat perkongsian maklumat harga dan produk secara sukarela.

Jelasnya, menerusi langkah ini pasaraya berkenaan secara tidak langsung akan dapat mempromosikan produk premis dan produk masing-masing.

“Kita mengharapkan dengan ada pendekatan ini kita dapat menambah jumlah data yang terkandung dalam PriceCatcher.

“Kita juga berharap ia menjadi rujukan oleh para pengguna kita sejajar agenda kita meningkatkan penyertaan pengguna sendiri supaya mereka boleh amalkan semak baru beli,” katanya lagi.

Terdahulu katanya sehingga kini aplikasi PriceCatcher memaparkan harga bagi 480 barangan keperluan pengguna yang dikemas kini secara harian.

Ia meliputi barangan segar, kering, susu, barangan bayi, produk kebersihan, makanan, minuman dan banyak lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast