Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR –  Pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 memerlukan libat urus yang lebih komprehensif dengan semua pemegang taruh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, proses itu juga akan mengambil masa yang agak panjang.

“Isu ketiadaan Ahli Majlis, saya tidak menyatakan perkara ini tidak penting namun pelaksaan pindaan ini perlukan libat urus yang lebih komprehensif dengan semua pemegang taruh dan mengambil masa yang agak panjang.

“Sehubungan dengan itu untuk jangka pendek, fungsi Majlis Perwakilan Penduduk akan ditambah baik sebagai semak dan imbang kepada bandaraya Kuala Lumpur,” katanya ketika menggulung peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Teresa Kok (PH-Seputeh) dan dan Lim Lip Eng (PH-Kepong) bagi meminda akta tersebut untuk membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

Zaliha turut berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Wilayah Persekutuan sebagai platform untuk membincangkan isu-isu dasar, polisi serta yang berkaitan dengan Kuala Lumpur dan menyalurkan maklumat dua hala isu terkini berkaitan warga kota.

“Jadi perkara yang dibangkitkan Seputeh boleh dibincangkan dalam platform ini dan Majlis Wilayah yang telah dikatifkan semula,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast