SUBANG JAYA – Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor akan dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memberi penjelasan rancangan menaikkan harga makanan bermula 5.0 peratus tahun depan.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata,  persatuan tersebut perlu memberi alasan kukuh untuk menaikkan harga makanan seperti ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, bukannya berpunca daripada  peningkatan gaji minimum atau sebagainya.

“Kita bertindak proaktif kerana tidak mahu ada mana-mana pihak mengambil kesempatan. Contohnya sekarang, disebabkan kenaikan gaji penjawat awam, begitu juga dengan peningkatan gaji minimum. Jadi kita risau ada pihak-pihak mengambil peluang untuk meningkatkan harga.

“Jadi dengan adanya perundangan akta ini kita akan memastikan mereka boleh menaikkan harga atas faktor-faktor tertentu (kos operasi, kos bahan) tapi tidak mencatut sebab kena ada alasan peningkatan kos secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) perkongsian data harga barangan dan produk melalui Aplikasi PriceCatcher di antara Mydin dengan Redtick, di sini hari ini.

Terdahulu beliau berkata, KPDN telah mengeluarkan notis panggilan kepada persatuan tersebut selaras di bawah  Seksyen 21, AKHAP 2011 dan pertemuan dijangka berlangsung esok.

Isnin yang lalu media melaporkan, kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula 5.0 peratus mulai 2025.

Setiausaha persatuan itu, Hussien Ibrahim berkata, kenaikan itu dibuat berikutan peningkatan kos operasi yang dipacu oleh kenaikan berterusan harga bahan mentah, selain pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang akan bermula Februari depan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here