Van yang membawa jenazah Allahyarham Tun Daim Zainuddin beredar dari kediamannya untuk disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan kemudian akan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Bukit Kiara 1. Foto SADIQ SANI, 13 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui beliau kehilangan seorang mentor yang telah membimbingnya dalam arena politik.

Ketika ditemui di kediaman Allahyarham Tun Daim Zainuddin di Bukit Tunku di sini, bekas presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian Daim yang disifatkan sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa.

“Saya kehilangan seorang mentor, yang  mana Malaysia kehilangan seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara tercinta.

“Saya terhutang budi kepada Tun Daim kerana banyak membimbing dan mendidik serta sentiasa bersama apabila saya jatuh dan bangun,” katanya yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Syed Saddiq lagi, sebelum beliau terjun dalam bidang politik, Allahyarham Tun Daim sentiasa meletakkan kepercayaan kepadanya untuk membina nilai-nilai yang baik.

Malah katanya, Allahyarham juga pernah menasihatkan beliau supaya terus bekerja keras dan perlu memiliki ketahanan yang hebat bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat

Syed Saddiq turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga atas kehilangan Allahyarham Daim.

Sementara itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, Allahyarham Tun Daim adalah tulang belakang di sebalik kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Malaysia selama 22 tahun.

Ujarnya, beliau turut mempunyai hubungan yang akrab dengan Allahyarham dan sering berjumpa secara tidak rasmi.

“Sebab itu saya tidak hairan bila Tun Mahathir mengatakan beliau kehilangan seorang sahabat yang sangat karib dan akrab.

“Mereka saling mengenali dan pernah bersama dalam kerajaan serta memiliki matlamat sama untuk membangunkan orang Melayu,” ujarnya.

Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap kepada wartawan ketika ditemubual selepas hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin di Persiaran Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 NOVEMBER 2024

Terdahulu, Daim, 86 , menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8.21 pagi tadi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali dengan yang pertama dari tahun 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Dr Mahathir.

Beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001 dengan sekali lagi berada di bawah pentadbiran Dr Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia pada ketika itu.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast