KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini proaktif dalam menjalankan sesi libat urus dalam usaha untuk memastikan peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) agar selari dengan perkembangan semasa.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan di kalangan pemain industri, kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta organisasi bukan Kerajaan.
Menurut beliau, maklum balas daripada sesi libat urus tersebut telah diambil kira
dalam memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta 588.
“Penelitian dan kajian yang terperinci telah dilaksanakan oleh MCMC dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan skop dan penggunaannya adalah lebih jelas dan tidak disalahgunakan dan bagi memastikan penguatkuasaannya dapat menangani kemudaratan dalam.
“Cadangan pindaan kepada Akta 588 termasuk cadangan pindaan kepada seksyen
233 dihasratkan untuk dibentangkan di Parlimen dalam mesyuarat kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta menteri komunikasi menyatakan pelan kementerian untuk mengkaji dan memperkemaskan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.
Cadangan pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi mengelak peruntukan undang-undang berkaitan hantaran dalam talian yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik itu disalahgunakan untuk tujuan politik.
Mengulas lanjut, Nie Ching memberitahu, Kementerian Komunikasi dan MCMC juga telah mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, ia bagi memastikan tiada pertindihan antara Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dan peruntukan-peruntukan bawah Akta 588, termasuk dalam konteks pemakaian seksyen 233.
“Kementerian Komunikasi bersama-sama kementerian lain yang berkaitan akan meneliti dengan sewajarnya keperluan sama ada untuk meminda dan menambah baik undang-undang sedia ada atau mewujudkan undang-undang baharu untuk mengekang aktiviti memudaratkan di dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette