Mafla yang tertera Free Palestin dan Gaza sebagai tanda solidariti berhubung situasi perang diantara Palestin dan Israel ketika di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2023.

Oleh: Dr Rozaini Othman dan Zaiton Din

SETAHUN sudah pun berlalu sejak tercetus Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023. Peristiwa ini adalah rentetan daripada sebuah perjuangan yang panjang untuk memiliki sebuah negara yang berdaulat. Bagaimanakah gambaran kesan peristiwa tersebut sehingga kini? Seramai lebih kurang 42,000 orang yang telah syahid. Ia bersamaan satu daripada 55 orang di Gaza yang telah dibunuh. 69% adalah kanak-kanak dan wanita. Sebanyak 34 buah hospital dan lebih daripada 200 buah sekolah telah dimusnahkan. Begitulah gambaran yang telah dilaporkan oleh portal berita Al-Jazeera setelah berlalunya setahun peristiwa Taufan Al-Aqsa. Angka-angka tersebut semakin meningkat dari hari ke hari.

Gambaran ini memberi isyarat bahawa genosid atau penghapusan kaum di Palestin sedang berjalan dengan rakusnya oleh rejim Israel seperti yang dinyatakan oleh pihak Amnesty International. Saban hari ada sahaja peristiwa yang menyayat hati dan tindakan yang zalim tanpa rasa belas kasihan diperlakukan oleh rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin. Masyarakat antarabangsa telah gagal untuk menghalang daripada perkara ini terus berlaku. Nilai-nilai yang sangat dibanggakan oleh masyarakat Barat dan dakwaan mereka tentang undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, dan demokrasi telah runtuh di atas pasir dan pantai Palestin.

Walaupun umat Islam di Palestin disakiti, dihenyak dan dibunuh, namun ia tidak melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang. Zionis Israel menyangka dengan kekejaman yang mereka lakukan dapat melemahkan umat Islam dan membenamkan cahaya Islam di Gaza. Tetapi mereka lupa bahawa Allah SWT tidak akan sekali-kali membiarkan perkara ini daripada berlaku dan janji Allah adalah pasti. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Saff ayat 8 yang bermaksud: “Mereka sentiasa
berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak
suka (akan yang demikian)”.

Peristiwa Taufan Al-Aqsa telah memberikan isyarat yang jelas kepada Israel bahawa umat Islam Palestin akan sentiasa mempertingkatkan keupayaan mereka dalam membebaskan bumi Al-Aqsa. Walaupun dalam segala sekatan yang telah dikenakan oleh rejim Israel dan sekutu mereka, umat Islam Palestin tetap berjaya membangunkan persenjataan mereka. Mereka berjaya mencipta roket, menghasilkan peluru serta merekabentuk sistem persenjataan yang tersendiri tanpa bergantung kepada teknologi luar. Keupayaan umat Islam Palestin sungguh luar biasa.

Ini adalah hasil daripada motivasi qurani yang membangkitkan semangat umat untuk sentiasa bersedia dan bersiap siaga dalam apa jua bentuk kekuatan. Allah SWT berfiman dalam surah Al-Anfal ayat 60 yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Hakikatnya, gerak kerja pembebasan negara Palestin masih lagi panjang dan memerlukan penglibatan setiap umat Islam. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri tanpa melakukan apa-apa tindakan. Kita perlu menjadi menjadi sebahagian daripada batu-bata yang memperjuangkan kebebasan bumi Al-Aqsa. Keadaan ini menuntut penyelarasan gerak kerja yang baharu dan secara menyeluruh kerana kita meyakini bahawa Israel akan pasti jatuh. Cuma masa dan waktu sahaja yang akan menentukan bila akan berlaku. Teruskanlah membantu dalam apa jua kapasiti yang kita ada sebagai saham di akhirat untuk membebaskan Palestin.

Sumbangan boleh dalam bentuk sama ada wang ringgit, tenaga, idea dan sebagainya. Teruskanlah boikot bagi yang mampu untuk laksanakan. Suatu perkara yang ampuh dan mudah untuk dilakukan adalah doa. Sebahagian masjid masih lagi mengamalkan doa qunut nazilah dalam solat fardhu dan ini perlu diteruskan sebagai tanda sokongan dan ingatan buat rakyat Palestin yang sedang berjuang.

Naratif dunia kini sudah bersama Palestin. Solidariti yang diberikan tidak mengenal agama, bangsa dan negara. Taufan Al-Aqsa bukanlah sekadar peristiwa. Ia adalah simbol kemenangan kepada mereka yang percaya bahawa masa depan negara yang bebas dan berdaulat boleh dicapai tanpa tunduk daripada tekanan dari luar. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Israk ayat 7 yang bermaksud: “Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (Baitul Maqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya”.

Penulis merupakan Pensyarah Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast