Mohamad Lazim menunjukkan botol minum berisi campuran dadah yang dirampas 7 November lalu.

KUALA LUMPUR – Sindiket menjual kotak dan botol air minuman ‘jus dadah’ tumpas apabila tiga individu termasuk seorang wanita Thailand ditahan dalam serbuan di ibu negara pada 7 November lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 26 hingga 32 tahun menerusi risikan yang dijalankan.

Tambah beliau, polis telah melakukan serbuan dengan menahan dua lelaki tempatan sekitar jam 11.50 pagi di sebuah kondominum di Jalan Ampang.

“Mereka mencampurkan pelbagai jenis dadah ke dalam `jus’ itu yang kemudian dikotak dan dibotolkan.

“Kita menemukan 1,490 gram ganja, ketamin (250 gram) dan serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (58.73 gram) ,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis menyerbu sebuah lagi kondominium di Sungai Besi pada hari yang sama dan menahan seorang wanita Thailand.

“Dalam serbuan itu, polis menemukan 55.43 gram ketamin, serbuk MDMA (341.95 gram), pil ekstasi (18.81 gram), methamphetamine (7.73 gram), pil erimin 5 (36.97 gram )dan cecair MDMA (67,000 mililiter).

“Polis juga merampas wang tunai RM50,000 dalam kedua-dua serbuan, dengan nilai dadah yang dirampas dianggar RM115,122 dan boleh digunakan oleh 3,020 penagih,” jelasnya.

Mohamad Lazim berkata,  ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek psotif dadah jenis jenis methamphetamine dan ketamin. selain memilik beberapa rekod lampau jenayah dadah.

Tambahnya, semakan mendapati sindiket itu bergiat aktif mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang terutama di pusat hiburan.

“Nilai pasaran bagi jus dadah yang dibungkus semula dalam kotak air minuman itu boleh mencecah RM1,500 sekarton manakala harga sebotol dijual antara RM220 hingga RM480 mengikut saiz,” jelas beliau.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast