Notis Perintah Tutup Premis Makanan itu dikeluarkan Persekutuan berdasarkan Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur mengarahkan kafe di bangunan utama Parlimen ditutup selama dua minggu berkuat kuasa hari ini hingga 26 November ini.

Notis Perintah Tutup Premis Makanan itu dikeluarkan Persekutuan berdasarkan Seksyen 11, Akta Makanan 1983 selepas pemeriksaan mendapati kafe berkenaan tidak bersih sehingga mungkin mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam maklum balas segera berkata, pihaknya akan memanggil semua pihak terbabit untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Selepas persidangan ini, saya akan panggil semua pihak yang terbabit berjumpa saya dan esok saya akan maklumkan apakah siasatan saya malam ini,” katanya sebelum bermulanya sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa oleh Kementerian Kewangan.

Sebelum itu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) membangkitkan berhubung peraturan mesyuarat 81 (1) mengenai jawatankuasa pilihan untuk Dewan berkaitan saman dikeluarkan ke atas kafe Parlimen.

“Kalau kantin Parlimen boleh dianggap tidak bersih, bagaimana pula makanan di seluruh negara kerana memberikan satu tanda simbolik yang amat negatif.

“Kita di sini hendak mendapatkan petua dan panduan daripada Tan Sri (Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) bagaimana kita harus menangani masalah ini.

“Jika tidak ia akan mencemarkan imej Parlimen, kalau kantin Parlimen pun tidak bersih, bagaimana yang lain dalam negara kita boleh bersih?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast