Sahabat dan kenalan menyambut jenazah Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk disolatkan di Masjid Wilayah Persekutuan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1. Foto AIZAT ZAINAL, 13 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil mengakui Tun Daim Zainuddin memainkan banyak peranan kepada negara.

Fahmi berkata,  Allahyarham juga banyak mencurahkan bakti ketika memegang jawatan bekas Menteri Kewangan.

“Kita tidak boleh nafikan pada 80-an dan sewaktu krisis kewangan memang Allahyarham ada bantu kerajaan sebagai Menteri Kewangan dan tugas-tugas yang beliau laksanakan telah mengembalikan Malaysia pada landasan yang baik, insya Allah.

“Saya doakan bagi pihak keluarga agar diberikan kesabaran dan ketenangan di saat yang cukup duka ini,” katanya ketika ditemui media selepas selesai solat jenazah Allahyarham  Daim.

Fahmi antara wakil kerajaan yang ditemui media di Masjid Wilayah Persekutuan ketika solat jenazah petang tadi.

Turut kelihatan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa pemimpin politik yang lain antaranya Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pemergian Allahyarham bukan sahaja kehilangan besar kepada keluarganya malah kepada rakyat Malaysia.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga. Kita kehilangan seorang figura besar yang banyak berjasa kepada negara.

“Jadi kehilangan Allayarham Tun Daim bukan sahaja kehilangan kepada keluarga dan sahabat handai tetapi kehilangan kepada negara.

“Kita doakan agar arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya.

Daim, 86 dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.21 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Assunta.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari hospital  pada jam 11.02 pagi untuk dibawa di kediamannya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, sebelum disolatkan di Masjid Wilayah selepas Asar.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here