Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kenyataan peguam waris kesultanan Sulu, Paul Cohen bahawa anak guamnya berminat untuk menyewakan negeri Sabah kepada negara lain seperti China atau Filipina adalah satu tindakan tidak masuk akal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Insitusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak waris kesultanan Sulu bebas berbuat demikian namun kerajaan Malaysia akan mencabar tindakan tersebut.

“Cubalah, apa saya nak buat kalau dia (Sulu) sudah fikir macam itu tanya dia. Kita negara berdaulat dan merdeka pada tahun 1957 dan Sabah jadi sebahagian daripada Malaysia.

“Kita ada Suruhanjaya Cobbold 1962 dan referendum jadi, dia cakap rasa saya tidak masuk akal tapi sebagai peguam dia ada hak, kalau rasa anak guam dia ada hak itu percakapan dia tapi jawapan saya cubalah, kita akan lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Forum Mengenai Timbang Tara Antarabangsa 2024 berjudul Masa Depan Timbang Tara Antarabangsa: Pembaharuan dan Inovasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Cohen menyatakan anak guamnya kini dalam proses mengambil tindakan terhadap Sabah termasuk kemungkinan menyewakan kepada China mahupun Filipina.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa sebelum ini sepatutnya memberikan pampasan kepada waris Sulu untuk menyerahkan “hak” mereka ke atas Sabah, dengan nilai hampir USD15 bilion.

Namun, dengan pembatalan keputusan itu, Cohen mendakwa waris Kesultanan Sulu kini bebas untuk bertindak ke atas Sabah, sama ada dengan menyewakannya kepada negara lain atau menguruskan hak mereka tanpa sebarang halangan.

Azalina sebelum ini menegaskan bahawa tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah adalah satu “penipuan Sulu” atau “Sulu fraud” yang bertujuan meruntuhkan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Azalina juga mengingatkan Malaysia agar berwaspada terhadap sebarang percubaan di masa hadapan yang mungkin mencabar keputusan mahkamah Perancis ini.

Untuk rekod, pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak.

Suruhanjaya itu dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Bitish pada November 1961.

Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negen Borneo Utara dan Sarawak mengenai gagasan penubuhan Malaysia.

Pada 7 November lalu media melaporkan bahawa Azalina memaklumkan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast