KUALA LUMPUR – Kedegilan seorang individu menaikkan binaan atas tanah rizab milik Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam kawasan perumahan di Bandar Saujana Putra sejak dua tahun lalu mengundang padah apabila struktur itu dirobohkan.

Yang Dipertua MPKL, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, operasi perobohan itu dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi semalam melibatkan 10 orang anggota.

“Semakan mendapati struktur itu dibina sejak  tahun 2022 dan Pejabat Cawangan Bandar Saujana Putra telah mengeluarkan notis pada tahun yang sama dan notis berikutnya turut dikeluarkan kepada individu terbabit pada 2024 untuk memindahkannya.

“Bagaimanapun individu itu didapati gagal mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan.

“Susulan itu satu operasi perobohan dijalankan melibatkan struktur berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, perobohan dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang sitaan atau tindakan kompaun.

Mohd Hasry berkata, struktur binaan itu dirobohkan menggunakan jentera Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) MPKL.

Sehubungan itu beliau mengingatkan supaya  pemilik kediaman tidak membina sebarang struktur pembinaan haram.

“Ini bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dibawa ke mahkamah.

“Masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan MPKL,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast