Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar mengatur dan memberikan segala perlindungan dengan segera seperti diminta pemberi maklumat berkenaan dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sebuah negeri.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, langkah itu boleh diambil menerusi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, sekali gus membolehkan siasatan berhubung dakwaan rasuah tersebut dijalankan segera.

Menurut beliau, dakwaan rasuah melibatkan beberapa ADUN itu merupakan sesuatu yang serius kerana bukan sahaja mencabar integriti kerajaan negeri, malah menggugat keyakinan orang ramai terhadap wakil-wakil rakyat yang dipilih.

Selain itu, ujarnya, dakwaan tersebut juga boleh menjejaskan minat melabur oleh pelabur tempatan dan asing.

“Siasatan perlulah dijalankan secara telus, tegas dan menyeluruh tanpa rasa takut atau memihak memandangkan pihak yang bakal disiasat amat berpengaruh kerana mempunyai latar belakang perniagaan dan politik, malah ada yang memegang kuasa eksekutif dalam kerajaan negeri berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Choo Seong turut menggesa hasil siasatan rasuah berkenaan kelak didedahkan kepada umum, manakala mereka yang terlibat sama ada pemberi mahupun penerima rasuah perlu diheret ke mahkamah untuk diadili.

“Ini bagi membersihkan masyarakat daripada segala bentuk gejala rasuah, selaras dengan komitmen Kerajaan Madani serta inspirasi rakyat,” katanya.

Sebuah portal online sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN di sebuah negeri yang didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Bagaimanapun sehingga kini, , SPRM dilaporkan tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai rakaman audio ADUN terbabit.

Namun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, peguam kepada pemberi maklumat terbabit ada bertemu pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast