Logo Global Ikhwan Services and Business Holdings (GIBSH)

KUALA LUMPUR – Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan pengikutnya adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-125 yang diadakan pada 24 hingga 26 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr. Nooh Gadut berkata, keputusan itu berdasarkan enam ciri penyelewengan dalam ajaran yang dibawa GISBH termasuk Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi.

Selain itu, ujar beliau, kumpulan tersebut juga mempercayai pengasas pertubuhan al-Arqam, Asaari Muhammad sebagai pembantu Syeikh Muhammad Suhaimi di akhir zaman serta Asaari boleh memberi syafaat kepada pengikutnya

Ciri lain penyelewengan lain, tambahnya, kumpulan itu percaya air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut serta janggut pemimpin mempunyai berkat.

“(Fahaman lain) mengamalkan ekonami ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagal balasan mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah.

“(Selain itu) mereka mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, tambah Nooh, umat Islam perlu menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman seperti yang dinyatakan serta dilarang berpegang, mempercayai, mengamalkan atau menjadi pengikut atau ejen kepada fahaman tersebut.

“Mana-mana individu yang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan, bersubahat atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman tersebut hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya.

Selain itu, tambahnya, tidak ada mana-mana pihak juga dibenarkan untuk memiliki atau mengedar bahan-bahan cetak serta elektronik berkait dengan kumpulan tersebut.

“Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran serta ulangannya, termasuklah filem, audio visual, rakaman, laman sesawang yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan itu,” katanya.

Sementara itu, tambah Nooh, MKI juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan bersesuaian bagi tujuan tersebut.

Jelas beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267 pada 23 hingga 24 Oktober lalu.

“Dalam hal ini, majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast