Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 14 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan jumlah keahlian pekerja dalam kesatuan sekerja di seluruh negara meningkat kepada dua juta orang.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, bilangan kesatuan sekerja di Malaysia setakat September lalu mencecah 759 dengan bilangan anggota seramai 1,030,151 orang.

“Sasaran itu selaras dengan Akta Kesatuan Sekerja 1959 Pindaan 2024 untuk memperkasakan lagi kesatuan sekerja di Malaysia, sejak 15 September lalu.

“Malahan, penguatkuasaan akta ini juga membolehkan segala halangan dalam penubuhan kesatuan sekerja dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di Putrajaya, hari ini.

Menurut Steven, pihaknya juga akan terus komited memperjuangkan hak dan kebebasan pekerja untuk menjadi lebih aktif dalam kesatuan.

“Saya juga sedang berusaha untuk membawa RUU (Rang Undang-Undang) baharu iaitu RUU Pekerja Gig, untuk membela nasib  pekerja gig yang sudah lama terkapai-kapai di luar akta kerja.

“Walaupun tidak dilindungi di bawah akta kerja tetapi mereka juga pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast