Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri akan membuka satu lagi Baitul Mahabbah di Johor dalam masa terdekat ini selepas ia mula diperkenalkan sejak tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini seramai 209 kanak-kanak termasuk bawah umur ditempatkan di lima Baitul Mahabbah di seluruh negara sehingga September lalu.

Beliau berkata, penempatan kanak-kanak di situ bersama penjaga yang ditahan atas kesalahan di bawah Jabatan Imigresen adalah bersifat sementara sehingga proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan.

“Beberapa sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara juga sedang dijalankan bagi meneliti pelbagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak melalui program berasaskan komuniti.

“Ia bagi memastikan pelaksanaan program itu selari dengan perundangan dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada program berasaskan komuniti dikaji sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak bawah umur yang ditahan atas kesalahan Imigresen.

Baitul Mahabbah adalah projek rintis iaitu program berasaskan komuniti sebagai alternatif kepada penahanan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar memberitahu, Baitul Mahabbah membolehkan pemindahan tahanan kanak-kanak dari depot Imigresen ke suatu premis lain di luar dari depot untuk kanak-kanak yang berumur 10 tahun dan ke bawah bersama ibu atau penjaga mereka.

“Baitul Mahabbah menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada tahanan kanak-kanak itu bagi memastikan perkembangan fizikal, mental dan emosi yang lebih sempurna,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast