Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) Nasional menggesa kerajaan untuk mengawal ketat media atau hiburan berunsur ganas.

Menurut Ketua Penerangannya, Ammar Atan, hiburan ganas boleh memberikan impak terhadap sensitiviti generasi muda kerana mereka sukar untuk membezakan antara fiksyen dan realiti.

Tambah beliau, hiburan ganas boleh menyebabkan golongan muda berasa melakukan aksi agresif sedemikian adalah perkara biasa.

“Kajian mendapati kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku agresif, terutamanya apabila pelaku digambarkan sebagai ‘hero’.

“Sekiranya babak aksi ganas ditayangkan tanpa kawalan, ini secara tidak langsung membawa kepada normalisasi budaya ini dan berisiko menjadi tingkah laku buli di institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Amar turut menekankan bahawa penglibatan badan bukan kerajaan dan ibu bapa juga perlu diperkasakan untuk asas pembentukan moral anak-anak yang lebih baik.

“Jika budaya buli ini tidak ditangani, ia mencerminkan kegagalan kita untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab, empati dan bermoral tinggi.

“Oleh itu, kami menyokong penuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memandang serius insiden buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Kami akan terus menyokong usaha semua pihak untuk membanteras kes buli dan memastikan semua institusi pendidikan menjadi tempat yang selamat untuk membentuk masa depan negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast