Nur Nadia Zakaria bersama anaknya dilaporkan hilang pada semalam telah berjaya ditemui hari ini

KUANTAN – Dua beranak yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan pada semalam ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, Sepang, Selangor hari ini.

Nur Nadia Zakaria, 29, yang sarat mengandung lapan bulan bersama anak lelaki, Aydan Noah Mohd Shahmi, 4, dijumpai kira-kira jam 2 petang tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh kakak mangsa, Adlin Mohd Zakaria, 36, yang sebelum ini giat mencari adik dan anak buahnya berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan pertolongan.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur. Alhamdulillah, adik dan anaknya selamat dijumpai.

“Terima kasih banyak kepada pihak polis dan semua yang telah membantu,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu media melaporkan dua beranak itu hilang selepas keluar membeli makanan di sebuah kedai di Jalan Pintasan Kuantan, pada semalam dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap.

Beliau dilaporkan kali terakhir meninggalkan rumah pada jam 12 tengah hari, semalam namun tidak pulang ke rumah di Kampung Chendering di Kuantan sehingga lewat petang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan Nur Nadia dan anaknya dijumpai di KLIA 1 oleh pihak polis.

Difahamkan kedua-dua mereka kini berada di Balai Polis KLIA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast