Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sabah Mineral Management (SMM), Jontih Enggihon yang mendakwa Datuk Seri Hajiji Noor menyalah guna jawatan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tuduhan Jonith menerusi rakaman video yang ditularkan seorang pemberi maklumat dipercayai tidak berasas dan berbaur fitnah, semata-mata untuk menjejaskan reputasi Ketua Menteri Sabah itu.

“Saya secara peribadi sebenarnya amat mengenali Datuk Seri Hajiji, walaupun saya bukan ahli dan tiada kena mengena dengan mana-mana parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tiada kepentingan apa-apa pun dengan Hajiji.

“Tuduhan mengatakan dia (Hajiji) menekan bekas CEO ini untuk memberikan projek kepada kontraktor pilihan Hajiji, sebenarnya saya cukup yakin satu fitnah.

“Dia tuduh, apa bukti, sekadar tuduh dengan nada yang tinggi dan sebagainya, sesiapa pun boleh buat tuduhan. Kita minta pihak polis panggil Jonthi dan tunjukkan apa bukti dakwaan dia,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita dalam talian melaporkan, terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit.

Menurut laporan itu, suapan terbabit diberikan kepada wakil rakyat ini sebagai balasan untuk mendapatkan projek dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah.

Selain itu, Zulkarnain turut membuat satu lagi laporan polis terhadap Jonith dan pemberi maklumat didakwa bersubahat untuk mengambil projek daripada GLS Sabah.

“Kita lihat kenyataan-kenyataan yang ditularkan, banyak salah laku, hanya pihak polis sahaja yang mempunyai kelayakan untuk menyiasat sama ada berita ini betul ataupun tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast