Gambar hiasan

KOTA TINGGI – Seorang wanita rugi RM238,000 selepas terpedaya dengan scammer menyamar sebagai anggota polis yang mendakwanya terlibat aktiviti penggubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kes penipuan itu semalam melibatkan mangsa yang berusia 48 tahun.

“Semuanya bermula pada Ogos lalu, mangsa telah dihubungi oleh suspek yang mengaku dari syarikat DHL memaklumkan bahawa terdapat bungkus yang telah dihantar oleh mangsa.

“Mangsa menafikan berkaitan bungkusan itu lalu panggilan tersebut telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mendakwa dirinya merupakan seorang pegawai polis.

“Mangsa dimaklumkan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan diminta membantu siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang merupakan pekerja swasta selepas itu membuat pinjaman peribadi berjumlah hampir RM250,000 dari September sehingga Oktober 2024.

Mangsa katanya, kemudian diarahkan melakukan 22 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun penerima berbeza sehingga jumlah keseluruhan RM238,000.

Yusof berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung penyelesaian tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya walaupun telah membuat pembayaran.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sindiket yang menyamar sebagai mana-mana agensi kerajaan.

“Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi jabatan siasatan jenayah komersil seperti Facebook, Instagram dan Tiktok.

“Orang ramai diseru menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang yang tidak dikenali melalui perkhidmatan semak mule dalam talian serta memuat turun aplikasi whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsam penipuan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Respone Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast