Imigresen menahan warga asing y ang bekerja di sebuah restoran yang tular dalam TikTok di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, semalam

MUAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 13 warga asing selepas menyerbu sebuah restoran yang tular dalam TikTok di Taman Setia Tropika, di sini, semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan menerusi Ops Selera itu dilakukan Unit Tindakan dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor pada pukul 1.20 petang.

“JIM menahan seramai 13 warga asing yang menyalah gunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di restoran yang tular di Tik Tok itu.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Semua mereka yang ditahan adalah 13 lelaki warga Indonesia masing-masing berumur 20 hingga 32 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Jelas beliau, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Menurutnya, sebanyak satu notis hadir ke pejabat dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Rusdi berkata, dalam Ops Selera dan Ops Kutip di lokasi berasingan, empat warga asing ditahan dipercayai menyalahgunakan pas dan permit.

Jelasnya, seorang lelaki Pakistan berusia 22 tahun dicekup ketika leka menjual buah-buahan dari meja ke meja di sebuah kedai makan di sekitar Larkin, di sini.

“Seorang lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki warga China masing-masing berusia 22 tahun hingga 40 tahun di tahan di sebuah restoran makanan tidak halal.

“Mereka didapati bekerja dan tidak memiliki dokumen yang sah. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JIM Johor akan terus konsisten melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama lokasi tumpuan.

JIM Johor katanya, turut memerangi majikan serta individu yang menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tepat tentang keberadaan PATI diseru melaporkan segera kepada JIM menerusi talian 07-2338400 atau emel ke https://imi.spab.gov.my.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast