KUALA LUMPUR – Jasa bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dalam memulihkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dikenang selamanya.
Mengimbau perkara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) 1.0 menjadi kerajaan pasca PRU-14, sebuah Majlis Penasihat Kerajaan dikenali sebagai Council of Eminient Person’s (CEP) dibentuk pada Mei 2018.
Katanya, Daim dilantik sebagai Pengerusi CEP dengan dibantu Timbalan Pengerusi, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz serta beberapa pakar lain yang terkenal.
Ujar beliau, salah satu misi besar CEP adalah melaksanakan pemulihan Tabung Haji yang ketika itu mengalami defisit RM4 bilion dan terus meningkat kepada RM10 bilion pada penghujung 2018.
“Antara dapatan awal Majlis Penasihat ini adalah terdapatnya kelakuan salah tadbir dan pembelian dana penjualan saham yang meragukan sehingga TH mengalami kerugian.
“Ini termasuk isu tata kelola yang culas dan tidak menepati piawaian perakaunan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mujahid, beliau turut diberikan amanah untuk melaksanakan misi pemulihan Tabung Haji sebagai Menteri Agama yang bertanggungjawab pada 2018 hingga 2020.
“Jasa Tun Daim sebagai Pengerusi Penasihat Kerajaan PH 1.0 terkhusus melihat pemulihan Tabung Haji akan dikenang selamanya.
“Bermula dari sinilah kerangka penstrukturan semula TH digerakkan 2018-2020 dan Alhamdulillah sehinggal kini TH berada pada landasannya yang tepat untuk memacu cabaran mendatang,” katanya.
Semalam, Daim yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali meninggal dunia pada usia 86 tahun kira-kira pukul 8.21 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Assunta.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, kira-kira pukul 6 petang. – MalaysiaGazette