Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bercakap pada media berkenaan Majlis Pelancaran Laporan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit di Dewan Bankuet, Blok Utama Parlimen Malaysia. Foto AIZAT ZAINAL, 14 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM60.06 bagi tujuan perbelanjaan perubatan jika setiap RM1 dilaburkan dalam program intervensi kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pulangan pelaburan (ROI) itu mampu menjimatkan kos Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi penyakit berpunca daripada pengambilan garam tinggi seperti angin ahmar dan hipertensi.

“Kalau KKM berbelanja dengan apapun yang terkait dengan program pengurangan garam, setiap RM1 yang kita belanja akhirnya seolah-olah kita mendapat RM60 pulangan.

“Sama ada seseorang itu dapat mengelak serangan jantung, angin ahmar ataupun hipertensi hingga tak boleh bekerja (absenteeism) atau presenteeism tapi tak dapat produktiviti yang tinggi.

“Semua itu bila diukur dari segi wang ringgit, dia akan memberikan pulangan, setiap RM1 yang kita masukkan dalam tabung kita itu, kita dapat balik RM60.06.

“Keuntungan itu dalam garam ini, ia memberi pulangan yang begitu besar,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia, Rabindra Abeyasinghe (kiri) merasmikan Buku semasa Pelancaran Laporan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit di Dewan Bankuet, Blok Utama Parlimen Malaysia. Foto AIZAT ZAINAL, 14 NOVEMBER 2024.

Terdahulu, beliau melancarkan Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia dan Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 serta Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025 hingga 2030 kepada Ahli Parlimen.

Menurut Dzulkefly, kerajaan telah berbelanja untuk tujuan perubatan yang mencecah RM64.2 bilion bagi empat NCD utama di negara ini pada 2021.

“Berkaitan dengan rokok, dia tak sebegitu besar, sebab itu mudah menangani penyakit hipertensi dengan kurangkan garam.

“Tapi bila kita sudah mula merokok, akan ketagihan dan boleh hadapi semua masalah termasuk Hemodialisis (HD), Atresia Bronkial Kongenital (CBA) dan sebagainya di paru-paru dan jantung.

“Sebab itu pulangan berkaitan rokok tidak besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast