KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengakui bahawa hasil pelaburan Fashion Valet tidak selari dengan unjuran pulangan pelaburan dalam platform fesyen e-dagang tersebut.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, semua pemegang saham Fashion Valet bersetuju dan memerlukan suntikan modal daripada pelabur baharu dengan segera untuk terus beroperasi dan menangani masalah aliran tunai.
“Namun, mereka tidak menerima banyak tawaran daripada pelabur baharu. Tawaran yang diterima ini merupakan tawaran terbaik dan dipersetujui oleh semua pemegang saham.
“Walau bagaimanapun, Khazanah dan PNB akan terus menambahbaik mekanisme tadbir urus dan tatakelola masing-masing,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Bendera-PH, Syerleena Abdul Rashid meminta Menteri Kewangan menyatakan faktor kegagalan pelaburan Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet.
Menurut Hui Ying, memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini dan audit dalaman masih berjalan, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk proses siasatan ini diselesaikan.
“Segala dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying juga memberitahu, kegagalan pelaburan Fashion Valet boleh dikaitkan dengan faktor-faktor di luar jangkaan termasuk implikasi Covid-19.
“Ketika Fashion Valet ingin mencapai aspirasi untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, ia telah menambah bilangan kedai fizikal secara pesat.
“Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghalang perniagaan fizikal Fashion Valet dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara.
“Malahan, kedai fizikal yang kurang mendapat sambutan juga terpaksa ditutup,” katanya.
Selain itu, katanya, perkembangan pesat jenama-jenama fesyen tempatan, terutamanya fesyen sopan yang menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri, berserta saluran alternatif mudah akses seperti Facebook, telah menyebabkan Fashion Valet mengalami saingan hebat.
“Oleh itu, platform Fashion Valet terpaksa ditutup dan seterusnya, Fashion Valet telah beralih fokus kepada jenama sendiri, iaitu dUCk dan LILIT,” katanya.
Selain itu, katanya, kegagalan pelaburan itu juga berpunca daripada cabaran pengumpulan dana menyebabkan kekangan aliran tunai kepada Fashion Valet.
“Ia berusaha mengumpulkan dana baharu untuk menangani masalah ini, tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam Fashion Valet.
“Malahan, pasaran pengumpulan dana yang mencabar pada ketika itu menyebabkan proses pengumpulan dana yang dijalankan oleh Fashion Valet tidak berjaya,” katanya.
Katanya lagi, walaupun Khazanah dan PNB adalah pelabur minoriti, kedua-dua pihak telah memainkan peranan proaktif untuk membantu Fashion Valet.
“Ini termasuk memberikan bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat.
“Walau bagaimanapun, impak daripada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Fashion Valet terlalu besar, menyebabkan situasi kewangan syarikat semakin parah,” katanya.
Sebelum ini, Fashion Valet telah menjadi sebuah platform fesyen e-dagang yang mempunyai lebih dari 400 jenama dan 15,000 produk dengan hasil perniagaan pada 2017 hampir RM60 juta dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dari 2013 sebanyak lebih 100 peratus.
Pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar oleh pihak masing-masing serta dilaksanakan pada nilai pasaran mencerminkan trajektori pertumbuhan platform e-dagang itu yang kukuh pada masa itu.
Suntikan pelaburan oleh Khazanah dan PNB ke dalam Fashion Valet digunakan untuk mengembangkan platform Fashion Valet supaya menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan.
Ini termasuk menambah bilangan kedai fizikal selaras dengan aspirasi Fashion Valet untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran dan membangunkan jenama yang dimiliki sepenuhnya oleh mereka.
Fashion Valet telah mencatatkan pulangan tunai positif (atau lebih dikenali sebagai EBITDA) untuk beberapa tahun selepas menerima pelaburan daripada Khazanah dan PNB. – MalaysiaGazette