Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan Malam Anugerah Toilet Of The Year (TOTYA) 2024 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal melaksnakan projek ‘Smart Toilet’ enam bintang di beberapa lokasi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Lokasi ‘Smart Toilet’ itu adalah di Dataran Masjid Putrajaya dan Dataran Flora di Putrajaya selain Jalan Alor dan Jalan Petaling di Kuala Lumpur.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembangunan keempat-empat projek tandas Bersih, Menawan, Wangi pintar (BMW-i) melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta dengan setiap tandas diperuntukkan sebanyak RM1 juta.

“Peruntukan itu akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya sebagai penggerak projek.

“Ini sekaligus menunjukkan bahawa KPKT akan memperhebatkan lagi supaya semua tandas awam di negara kita mencapai benchmark BMW-i,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah ‘Toilet of The Year’ Tahun 2024 di Hotel Sheraton Imperial, di sini, hari ini.

Tambahnya, langkah itu selaras dengan sasaran Malaysia untuk menarik 35 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, yang diharapkan dapat menjana RM147 bilion kepada ekonomi negara selain persiapan sebagai Pengerusi ASEAN akan datang.

“Setakat ini, sebanyak 11,397 tandas awam di seluruh negara telah dinaik taraf dalam tempoh kurang dari dua tahun sejak kepimpinan kerajaan Madani, dengan kos melebihi RM800 juta.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mencipta Malaysia yang lebih bersih, selian meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kebersihan bukan sahaja untuk tandas awam malahan kehidupan seharian,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast