Stesen radio Suria FM berjaya mencatat lebih 3.3 juta jumlah pendengar dalam seminggu.

KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM berjaya mencatat lebih 3.3 juta jumlah pendengar dalam seminggu menerusi keputusan terkini kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024.

Angka tersebut meningkat sebanyak 10 peratus berbanding kajian terdahulu yang mana segala data tersebut merupakan hasil tinjauan individu berusia 10 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia.

Lebih membanggakan, segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin mencatat peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi sebanyak 341,000 pendengar iaitu 33 peratus daripada kajian terdahulu.

Menurut DJ Lin yang juga Pengurus Besar, peningkatan angka tersebut menjadi bukti sokongan berterusan pendengar terhadap Suria FM.

“Kami amat gembira dengan keputusan kaji selidik sekali gus menunjukkan Suria FM terus menjadi pilihan utama pendengar radio di Malaysia.

“Pencapaian ini disebabkan komitmen padu dan kerja keras seluruh pasukan yang telah memberikan hasil terbaik untuk para pendengar.

“Kami komited untuk terus memperkukuhkan jenama Suria agar kekal relevan dan menjadi pilihan pendengar di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Awal tahun ini, DJ Lin dan Suria FM dikecam dan diberi pelbagai gelaran gara-gara isu penamatan kontrak bekas penyampanya, Tyzo.

Dalam masa sama segmen Suria Cinta turut meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) selama tiga jam 11 minit dalam kalangan segmen utama di Suria.

Selain Suria Cinta, segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria kelolaan Cik Piah turut meraih peningkatan sebanyak 303,000 pendengar iaitu 23 peratus.

Manakala, segmen Morning Morning Suria kendalian Ajak, Datuk Fizz Fairuz dan Suraya pula mencatatkan peningkatan sebanyak 170,000 pendengar (12 peratus) sementara segmen Suria Petang yang dihoskan oleh Sharifah Shahirah, Chiwan, dan Kai Hassan meningkat kepada 152,000 pendengar (9 peratus). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast