Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mencatatkan pungutan hasil lebih RM1 bilion pada tahun ini, melepasi sasaran untuk tiga tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebihan kos perbelanjaan negeri akan dimanfaati oleh rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan seperti platform Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan agihan bantuan lain.

”Sehingga semalam jumlah kutipan sudah ialah RM1.06 bilion, itu belum habis bulan Disember.

“Bila kita dapat RM1 bilion ini, kos perbelanjaan kita ialah RM600 juta sahaja setahun, membayar gaji penjawat awam dan sebagainya, jadi RM400 juta itulah selain daripada kita simpan, kita bagi balik kepada rakyat.

”Sepertimana yang saya janjikan, kita akan bagi balik kepada rakyat dalam BPP daripada yang baru lahir sampai berkahwin, yang masuk sekolah, yang masuk universiti, warga emas semuanya kita akan bantu, pelajar-pelajar di universiti kita bagi RM400 secara one-off setiap tahun kita akan teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Konvokesyen 2024 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, sebarang usul yang ingin dibangkitkan oleh pembangkang perlu mendapat persetujuan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin terlebih dahulu.

Katanya, ini kerana permohonan usul tertakluk kepada beberapa syarat yang harus dipatuhi sebelum dewan bersidang yang dijadualkan pada hujung November ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat pembangkang untuk membawa usul berkaitan isu pembersihan Hutan Simpan Sungai Lembing pada persidangan DUN Pahang akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast