KUALA LUMPUR – Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) yang diperkenalkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berpotensi menjadi antara indikator dalam pelaksanaan subsidi bersasar dan program bantuan lain kerajaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dengan adanya data lengkap mengenai perbelanjaan asas yang sesuai mengikut daerah, ia akan membolehkan kerajaan melaksanakan subsidi dengan lebih bersasar.
Sambil memberikan contoh beliau berkata, sebelum ini subsidi dilaksanakan secara menyeluruh dan dinikmati sama rata antara setiap individu walaupun ada antaranya tidak layak mendapat subsidi.
“Dengan adanya data seperti ini, pelaksanaan subsidi kerajaan lebih bersasar dan membolehkan kerajaan mengatur kewangan dengan lebih baik.
“Lebih banyak dana boleh dilaksanakan untuk tujuan pembangunan lain dengan lebih cekap,” katanya kepada media selepas sesi ‘townhall’ PAKW dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut daerah di sini, hari ini.
Menurut Mohd Uzir lagi, selain itu, DOSM juga memperkenalkan kalkulator PAKW yang membolehkan orang ramai menyemak perbelanjaan asas di setiap kawasan kerja dan kediaman.
Jelas beliau, ia juga membolehkan majikan menyemak kesesuaian gaji dan potensi untuk pengukuhan operasi mereka.
Malah katanya, ada yang menyatakan perbezaan PAKW antara luar bandar dan bandar akan menyebabkan majikan tidak menaikkan gaji sekaligus membantutkan ekonomi setempat.
“Perkara ini sebenarnya tidak berlaku sebaliknya ia akan membolehkan pelebaran ekonomi setiap daerah.
“Majikan akan melihat potensi untuk membuka kilang atau pejabat di kawasan yang sesuai. Mengenai gaji pula ia adalah bersifat nasional bukan secara lokaliti,” ujarnya.
Dalam pada itu Mohd Uzir berkata, PAKW dianalisis berdasarkan perincian demografi yang meliputi ciri-ciri isi rumah, saiz isi rumah serta lokasi.
Beliau menekankan bahawa, PAKW dibangunkan oleh DOSM untuk memberi satu nilaian kos kehidupan wajar.
Katanya lagi, pembangunan PAKW bermula pada 2018 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.
“PAKW merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah/individu untuk mencapai kehidupan wajar yang memenuhi keperluan, kehendak dan kemampuan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan.
“Nilai PAKW ditentukan oleh dua faktor utama iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah.
“Oleh itu, nilai PAKW bagi setiap isi rumah berbeza-beza bergantung kepada ciri-ciri demografi dan lokasi tempat kediaman,” tambahnya.
Kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW telah dibangunkan untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat seperti faktor demografi dan lokasi, termasuk jantina, umur dan bilangan ahli isi rumah.
Sehubungan itu, setiap individu dan isi rumah mempunyai corak perbelanjaan yang berbeza.
Kalkulator MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing. – MalaysiaGazette