Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya pengawainya yang terlibat dengan kegiatan buli dan penderaan dalam akademi ketenteraan seliaannya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut-PN) mengenai tindakan yang akan diambil terhadap seorang pegawai tentera yang didakwa mengasari seorang penceramah jemputan ketika hendak memberi ceramah kepada pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

Khaled menjelaskan, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan polis terhadap laporan yang dibuat kedua-dua pihak terbabit di dalam insiden tersebut.

“Sebenarnya kedua-dua pihak membuat aduan polis, jadi kita tunggulah laporan daripada siasatan polis apa sebenarnya insiden yang berlaku.

“Laporan daripadanya akan menentukan tindakan-tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

https://malaysiagazette.com/2024/11/12/penceramah-jemputan-dakwa-dikasari-diugut-pegawai-kaunseling-markas-atm/

Pada 12 November lalu, media melaporkan Mejar (B) Mohamad Qayyum Badaruddin, 56, yang merupakan seorang kaunselor telah membuat laporan polis selepas mendakwa diugut dan dikasari seorang pegawai ATM dalam satu program ceramah motivasi di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, di sini.

Beliau yang juga seorang pesara pegawai ATM mendakwa pegawai yang melakukan kekasaran itu juga merupakan seorang kaunselor.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan beri perhatian dan meneliti apakah punca dan kelemahan serta tindakan sewajarnya yang akan diambil daripada semua insiden yang berlaku sebelum ini.

“Kita tidak berkompromi dalam soal buli atau penderaan ini.

“Memang benar latihan ketenteraan sangat berat tetapi tidaklah sampai kepada buli ataupun berlaku kekerasan.

“Jadi saya beri jaminan di situ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast