Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 43.8 Lebuhraya Utara Selatan, Kulai malam tadi.

KULAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah lori yang rosak di Kilometer 43.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, kemalangan berlaku pada pukul 10.54 malam melibatkan motosikal jenis Yamaha FA150, lori Hino dan kereta Proton Waja.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan, 32, hilang kawalan dan melanggar belakang lori yang rosak di lorong kecemasan.

“Pada masa yang sama, Proton Waja berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun tidak sempat mengelak motosikal yang jatuh atas jalan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat katanya, dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat manakala pemadu lori dan pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

Menurut Seng Lee, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed menurusi talian 013-3063710,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka juga boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast