Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Penutupan kafeteria yang dikendalikan oleh Pak Tam Catering Sdn. Bhd. di aras satu, bangunan Parlimen, di sini, selama 14 hari bukan di bawah bidang kuasa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Sebaliknya, beliau berkata, arahan itu dikeluarkan pegawai-pegawai dari Sektor Inspektorat dan Perundangan (SIP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan dan penilaian kebersihan secara berkala.

“KKM memberi kepercayaan dan menyerahkan sepenuhnya berhubung penutupan kafeteria di aras satu, bangunan Parlimen.

“Itu bergantung kepada SIPKKM yang bekerjasama rapat dengan pengurusan Parlimen dan saya yakin andainya kalau tiada sebab kenapa tidak diizinkan dibuka, perlu ditutup sampai 14 hari, itu bukan bidang kuasa saya.

“Saya meletakkan keyakinan kepada pegawai-pegawai saya di SIP untuk membuat keputusan bersama dengan pegawai-pegawai tertinggi Parlimen.

“Sebaik sahaja dibuat pembersihan, dikaji semula, dibuat pemeriksaan, andainya kalau tiada sebab, saya yakin akan diizinkan beroperasi semula,” katanya kepada pemberita, di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan, Parlimen Malaysia menyokong tindakan dan saranan KKM dengan menghentikan serta-merta perkhidmatan pengendalian Pak Tam Catering sehingga mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak KKM selanjutnya.

“Parlimen Malaysia mengambil maklum tindakan pihak KKM dengan penutupan kantin di Aras 1, bangunan Parlimen yang dikendalikan Pak Tam Catering Sdn Bhd untuk tujuan pembersihan serta penambahbaikan penyediaan makanan dan minuman.

“Pemeriksaan kesihatan berkala ini telah dijalankan terhadap dua lagi kantin yang dikendalikan oleh pengusaha kafeteria Fadilah Hayat dan CS Success,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Johari memaklumkan, syarikat CS Success telah diarahkan untuk beroperasi di ruang makan Dewan Negara dan ruang rehat Ahli Parlimen yang terletak di Blok Utama Parlimen.

“Manakala pengoperasi pengendalian makanan Fadilah Hayat berjalan seperti biasa di blok sementara,” katanya.

Johari berkata, Parlimen Malaysia komited untuk memberi kerjasama penuh dengan KKM melalui pemeriksaan kebersihan secara berkala itu.

“Ia bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan mematuhi standard tertinggi berdasarkan garis panduan penyediaan dan pengendalian makanan yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast