Polis merampas diesel bersubsidi di sebuah premis di kawasan Seelong, Senai, Kulai malam tadi.

KULAI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah II menyerbu sebuah premis yang dijadikan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di kawasan Seelong, Senai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, serbuan menerusi Ops Taring Landai itu dilakukan sepasukan PPM Wilayan II pada pukul 8 malam.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh tersebut menemui sejumlah diesel dalam 26 buah square tank, sebuah pam flow meter dan satu buah pam minyak.

“Turut ditemukan dua kenderaan yang telah diubah suai dengan mempunyai satu tangki besi kapasiti 1,000 liter dan satu tangki fiber kapasiti 700 liter di belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, jumlah rampasan diesel melibatkan 27,200 liter bernilai RM78,880 manakala dua kenderaan itu iaitu pacuan empat roda Ford Ranger dan lori Isuzu masing-masing bernilai RM85,000.

Beliau memberitahu, keseluruhan nilai rampasan dalam serbuan berkenaan berjumlah RM296,880.

Pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 23 dan 32 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, turut disiasat bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai kenderaan.

“Polis akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan diesel atau minyak bersubdisi lain yang menyebabkan kerugian kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Masyarakat katanya, digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkenaan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dan peraturan keselamatan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast