KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Datuk Rizalman Ibrahim dilantik sebagai Prof Adjung Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).
Pelantikan itu berkuat kuasa 23 Oktober lalu dan pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di akaun Facebook ‘Academy of Islamic Studies’ pada semalam.
“Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Datuk Rizalman Ibrahim atas pelantikan sebagai Profesor Adjung, Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam,” katanya.
Perlantikan itu merupakan satu bentuk pengiktirafan buat Rizalman oleh ahli akademik institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang memandang tinggi buah pemikiran bekas pereka fesyen berusia 53 tahun.
Rizalman mencetuskan pemikiran kreatifnya di samping usaha mencetuskan sinergi dengan pakar-pakar ilmuwan dalam pelbagai bidang termasuk pengajian al-Quran dan hadis.
Memetik kenyataan rasmi itu, pengiktirafan berkenaan adalah hasil daripada sokongan dana dan keprihatinan Rizalman dalam membantu pembangunan ummah dari aspek ekonomi dan rohani.
Rizalman mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak UM dan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis kerana mencalonkannya untuk memperkasakan ilmu kedua-dua cabang ilmu utama di Malaysia dan di institusi terbabit.
Terdahulu, Rizalman dilantik sebagai Prof Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (AICS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berkuat kuasa pada 13 Ogos 2023 hingga 30 Julai 2025.
Sebelum itu, Rizalman pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah UiTM selama tiga tahun. – MalaysiaGazette