PASIR GUDANG – Selangor FC kesal kerana tidak dapat memanfaatkan peluang semasa berdepan Johor Darul Ta’zim III (JDT III) dalam Piala Presiden 2024 di sini malam tadi.
Pengendali skuad Merah Kuning, Muhammad Firdaus Aziz mengakui anak buahnya gagal menyempurnakan peluang yang ada di hadapan gawang lawan.
Keadaan itu katanya, menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan Selangor FC untuk menjaringkan sebarang gol pada aksi final ke-2 Piala Presiden 2024.
“Saya rasa kita cipta banyak peluang tapi tak boleh menjaringkan gol, tak ada penyudah yang baik, itulah perbezaan pasukan kita malam ini (malam tadi).
“Lihat sahaja pada separuh masa pertama, kita mula dengan langkah kanan dan memang banyak peluang kita dapat tapi semuanya tak ada penyudah.
“Apa pun, tahniah kepada JDT yang menang buat kali ketiga berturut-turut Piala Presiden ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi final ke-2 tersebut, namun JDT III dinobatkan selaku juara kali ini hasil kemenangan 2-1 pada aksi final 1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 6 November lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, secara keseluruhannya berpuas hati dengan aksi skuad kendaliannya dalam kedua-dua aksi final berkenaan.
“Bagi saya, final 1 dan final ke-2 memang banyak bezanya, cuma di kedua-dua peringkat tersebut, kesemua pemain telah memberikan aksi yang terbaik.
“Perkara tersebut membuatkan saya berasa sungguh berbangga dengan pencapaian rakan-rakan saya,” katanya.- MalaysiaGazette